Harian Metro
Edisi Selatan : Penerbangan batal kerana ‘April Fool’Oleh Ibrahim Isa
JOHOR BAHRU: Lawak bodoh seorang penumpang kononnya ada bom dalam pesawat yang mahu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Senai, di sini, ke Tawau, Sabah petang semalam, membawa padah apabila dia terpaksa tidur di lokap.
Lelaki berusia 30-an berasal dari Sabah itu dikatakan melakukan gurauan ‘April Fool’ ketika pesawat berkenaan mahu berlepas pada jam 4.40 petang.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut mengakibatkan 90 penumpang lain tidak dapat ke Tawau, kerana penerbangan Johor Bahru-Tawau itu terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan ke hari ini.
Dalam kejadian itu, pesawat berkenaan dijadualkan membawa 91 penumpang ke Tawau dan bergerak memasuki landasan untuk berlepas, sebelum lelaki terbabit memberitahu seorang anak kapal ada bom dalam pesawat itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Pemangku Asisten Komisioner Johari Yahya, berkata sebaik menerima maklumat itu, krew pesawat terbabit memaklumkan penyelianya sebelum kapten pesawat menghubungi menara kawalan.
Menurutnya, menara kawalan kemudian menghubungi polis sebelum meminta pesawat itu tidak berlepas.
Katanya, sebaik menerima panggilan, sepasukan polis termasuk lima anggota dan pegawai Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke LTSI.
“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan dalam pesawat dan semua bagasi penumpang diimbas semula bagi menentukan sama ada dakwaan lelaki itu benar.
“Bagaimanapun, pemeriksaan yang dibuat hingga jam 6.45 petang gagal menemui sebarang bahan disyaki bom,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya itu.
Sementara itu, Pengurus LTSI, Kennedy Ayu, ketika dihubungi, berkata syarikat penerbangan terbabit membuat laporan polis berhubung perkara itu dan operasi di lapangan terbang kembali normal selepas pemeriksaan selesai.
Katanya, pesawat lain dibenarkan berlepas dan operasi tergendala selama kira-kira sejam, membabitkan pesawat yang dijadualkan mendarat di lapangan terbang itu.
“Kami dimaklumkan mengenai lelaki terbabit yang mendakwa ada bom. Kami menyerahkan kepada polis untuk menyiasat sama ada lelaki itu bergurau atau ada alasan lain,” katanya.